Tuesday, April 17, 2007
Sayu
"Orang setabah kau memang payah dicari Mi..!"
Namun luahan itu terbenam jauh ke lubuk hati yang paling dalam. Sesungguhnya patah-patah kata itu tidak mampu diluahkan. Hanya keramat kata-kata itu menjadi penawar paling mujarab untuk mengubat lara hati aku dan Helmi. Ya, barangkali.
---
Malam Ahad ada latihan silat. Seperti biasa pelajaran yang diperolehi tersimpan kemas, menunggu masa yang sesuai untuk diamalkan. Mempertahankan agama, nusa dan bangsa. Juga, diri sendiri dan orang-orang tersayang. Seusai menutup gelanggang persilatan kami malam itu, aku dan Helmi ke Jas Cafe. Minum-minum. Kami menunggang berasingan bermatlamatkan satu tempat yang sama.
Kami pilih tempat duduk yang tipikal. Biasa-biasa saja.
"Kau apa cerita sekarang?" soalku sambil menekur air batu di dalam gelas setelah mencicip jus orenku seteguk dua..
Helmi senior aku. Sewaktu aku semester satu, sempat aku tinggal seblok dengannya di Kolej 12. Aku di aras lima dan dia di aras dua. Dalam gayong, dia memegang bengkung merah. Kenangan bersamanya bukan sedikit, namun tidaklah begitu mengesankan di dalam jiwa. Pertemuan semula ini memang tidak dijangka-jangka.
"Budak-budak yang aku ajar tu degil-degillah. Kadang-kadang bengang aku dibuatnya. Mana taknya..." cerita Helmi sambil aku berselang-seli menyampuk.
"Ada seorang budak yang aku ajar tu, degil punyalah macam apa...Pernah aku panggil dia sekali ke depan kelas. Kemudian, aku kilas tangannya macam buah kunci lima." gerutu Helmi sambil tersenyum. Tergelak aku dibuatnya. Dia mengajar di sebuah sekolah rendah di Cheras. Dia beruntung kerana setelah menyempurnakan KPLI, dia terus diterima mengajar di situ.
"Kau biar betul? Kunci lima? Sakit tu!"
"Tak adalah, aku tak buat habis sampai bawah."
"Habis budak tu?"
"Apa lagi, minta tolonglah! Aku buat muka serius aku."
Aku ketawa. Helmi, Helmi...
"Eh, kau pula apa khabar awek kau?"
'Awek? Apa ni Helmi...'
Senyap. Senyuman aku mati. Namun, fikiran aku melayang-layang entah ke mana.
"Mana ada." tekan diriku. Mata Helmi mencerun ke arah wajahku. Kemudian, dia tunduk menyedut saki-baki teh limaunya.
"Hari tu dia kahwin ada dia orang jemput kau?" soal Helmi.
"Ada." pendek jawapanku. Sebenarnya, aku terlupa siapa nama senior gayong sezaman dengan Helmi yang melangsungkan perkahwinan hujung minggu lepas.
"Kau bila lagi Helmi?"
Helmi diam.
"Kawan-kawan aku, lepas seorang, seorang kahwin. Aku saja yang belum." mendatar saja nadanya. Terpempan aku seketika dimainkan oleh butir-butir katanya dan buaian perasaan aku sendiri. Hatiku tersentuh sekali mendengar luahannya.
"Banyakkkan bersabar Mi, belum sampai masanya untuk kau. Aku yakin, bila kau dapat je seorang, itulah yang terbaik untuk kau dunia akhirat..." aku cuba memujuknya. Lara hatiku yang sendirian ini aku cuba lemparkan jauh-jauh.
"Emm...Terima kasih." ujar Helmi sambil tersenyum tawar.
Subscribe to:
Posts (Atom)