Monday, March 17, 2008

Pertarungan

Cerita ini cerita rekaan, namun maksud hatiku telah berjaya disampaikan andai cerita ini siap dikarang. Ada watak dan peristiwa yang benar-benar wujud dan ada yang terpaksa diubah.

Dedikasi buat sahabat-sahabat aku di Kolej Islam, yang menjerihkan dan menjernihkan dua tahun hidupku di sana...

---

"Menaruh hati biar berpada,
Hati terjaga iman tak binasa;
Tekuis hati tercuit minda,
Bertarung jiwa dek angkuh rasa.

Pahit lengkuas perit halia,
Penawar penyembuh tiada tara;
Terfikir sirah junjungan mulia,
Menerima hadiah hati gembira."

"Eh, mana kau dapat ayat-ayat ni?"

Aku tersentak sedikit. Rupa-rupanya ada orang di belakang.

"Hei, mana boleh kau ambil je ayat ni dan nak dihantar terus ke majalah sekolah...!"

Aku memalingkan mukaku ke belakang. Aku merenung matanya, cuba mencari sesuatu. Kepastian.

"Eh, siapa yang..."

Aku tidak menunggu lagi. Aku bingkas bangun dan terus menolak dadanya. Dia menepis tanganku tetapi aku berhasil juga mengundurkannya dua langkah ke belakang.

"Bagus! Pantas sekali reaksi kau!" Entahkah memuji entahkan mengejek, dia tersenyum kepadaku.

Tiba-tiba dadaku ditunjalnya dengan kedua-dua jari telunjuk dan jari hantu kanan yang telah dirapatkannya. Aku berkerut menahan kesakitan. Cepat betul tindak balasnya.

"Aku bergurau sajalah! Sambunglah kerja kau tu pendekar ayat seni!"

'Kau blah camtu je Faid?' Hatiku berbisik sambil kumengurut dadaku yang sakit sedikit. Kuat betul jari Faid. Dia memang begitu. Gurauannya kasar tapi setakat di situ sahaja. Dia bukanlah pemendam dan pedendam walaupun aku selalu juga bertindak balas secara fizikal ke atasnya. Dia bukanlah seperti sesetengah orang, suka bergendang dan berdondang sayang di belakang, konon takut mencetuskan perang. Ah, biarlah!

Aku kembali ke meja. Aku terpana seketika. Kertas yang bertulis pantun tadi tidak kelihatan. Aku tunduk mencari di bawah meja. Negatif. Meliar mataku di sekeliling kawasan hadapan kelasku. Angin sejuk bertiup sekilas. Sebarang kertas pun tidak kelihatan. Kalau angin yang menerbangkannya, sudah pasti kertas itu tidak berada jauh dari mejaku.

'Kertas pantun, mana kau pergi?'

Faidkah yang mengambilnya? Seingat aku, dia berada di belakangku tadi. Apabila aku berpusing menghadapnya secara berdepan, dia tidak pula mengelakkan dirinya. Tapi masa dia berundur akibat terpaanku tadi, tiada apa-apa pun yang dipegangnya.

'Hmmm, aku buat lainlah pantun tu!' keluhku sendirian.

Aku berjalan ke luar kelas. Jam baru menunjukkan pukul enam petang. Angin berhembus-hembus. Seronok sekali disapa angin sebegitu. Maha Suci Tuhan yang mengurniakan nikmat angin. Selain menitipkan nikmat, melalui angin jugalah ALLAH pernah memusnahkan beberapa umat terdahulu yang ingkar terhadap perintah-Nya. Lambat-lambat aku menapak menuju ke tingkat bawah. Aku menuju ke kawasan lapang dekat kerusi batu. Mundar-mandir di situ sambil memerhati kelibat sesiapa yang mungkin menggangguku. Petang-petang begini, ada juga yang turun ke kelas mengulangkaji pelajaran. Ada yang datang mengemas meja dan kerusi. Ada juga yang masuk ke kelas dan menyelitkan kertas-kertas kecil di meja kawan-kawan guna menyampaikan mesej-mesej penting dan sensitif. Ada yang rajin ke kelas untuk menulis pesanan dan peringatan di papan tulis.

Tersenyum sendiri aku dibuatnya memikirkan gelagat orang. Apakah orang lain akan tersenyum juga bila memikirkan gelagat aku?

Masa untuk berlatih jurus-jurus silatku sudah bermula. Aku melakukan regangan-regangan asas dari kepala ke kaki dan diteruskan dengan regangan tambahan senaman harimau yang aku ingat sedikit-sedikit saja. Senaman regangan harimau dalam silat gayong mempunyai 21 gerakan. Biasanya, gerakan berkenaan dilakukan sebelum melatih gerakan-gerakan silat yang sebenarnya. Aku kira, pergerakan regangan konvensional dan regangan asas silat sama saja. Perbezaan mula timbul bila senaman harimau dilakukan.

(bersambung)

No comments: